Terbuka Thailand: Tiga Perseorangan Lelaki Tersingkir Di Pusingan Kelayakan
May 17, 2022 Hafizuddin Omar

Saingan Terbuka Thailand 2022 – Jelajah Dunia Super 500 BWF – membuka tirainya pada hari ini dan tiga perseorangan lelaki negara terpaksa menelan hakikat yang pahit tersingkir seawal pusingan kelayakan.

Salah seorang daripadanya ialah Cheam June Wei yang terpaksa menarik diri ketika di pertengahan pertarungan ekoran mengalami kecederaan. Ketika itu, lawannya yang merupakan pemain Jerman, Max Weisskirchen telah memenangi set pertama dengan skor 21-11.

Pemain kedua yang tersingkir juga berstatus bebas iaitu Soong Joo Ven. Pemain berusia 26 tahun ini tersingkir selepas tumpas kepada pemain Denmark, Christophersen secara “straight set” dengan skor 14-21 dan 21-23.

Manakala perseorangan ketiga yang tersingkir adalah pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aidil Sholeh. Pemain berusia 22 tahun ini tumpas kepada pemain Jerman, Kai Schaefer dengan skor 21-18, 16-21 dan 12-21.

Bagaimanapun, Malaysia masih mempunyai tiga lagi wakil perseorangan lelaki dalam kejohanan ini yang akan turun beraksi di Pusingan 32 pada hari esok.

Tiga pemain tersebut ialah Lee Zii Jia, Liew Daren dan Ng Tze Yong dan diundi menentang pemain Azerbaijan, Ade Resky Dwicahyo, pemain India, Prannoy HS dan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei.

Featured Image: Badminton Asia

Komen