Sukan SEA: Lee, Haikal & Tang Jie Serta Shaqeem Pacu Malaysia Ke Final
May 17, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad lelaki negara hampir-hampir disingkirkan oleh Singapura dalam acara badminton lelaki berpasukan pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2021.

Mujurlah wakil ketiga negara merangkap pemain perseorangan kedua, Lee Shun Yang berhasil mencetak kemenangan ke atas Jason Teh Jia Heng dengan skor 21-19, 21-23 dan 21-16 sekaligus menghalang skuad negara seberang tambak merekodkan kemenangan 3-0 pada ketika itu.

Sebelum itu, perseorangan dan beregu mereka iaitu Loh Kean Yew dan gandingan Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean berhasil mengalahkan Jacky Kok Jing Hong (12-21 dan 12-21) dan Arif Junaidi-Man Wei Chong (21-19 dan 21-13) untuk memberikan pendahuluan selesa 2-0 buat Singapura.

Setelah Shun Yang berhasil meletakkan kedudukan 2-1, gandingan “scratch pair” Chen Tang Jie-Muhammad Haikal memberikan satu lagi kemenangan buat Malaysia apabila berjaya menumpaskan Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek Jun Liang dengan skor 21-17 dan 21-15.

Kedudukan menjadi seimbang 2-2 dan perlawanan kelima perlu dilangsungkan untuk mencari pemenang yang akan menempah tiket ke saingan akhir.

Di perlawan kelima, perseorangan ketiga negara, Muhammad Shaqeem Eiman memastikan Malaysia mengesahkan tempat ke peringkat akhir dengan menundukkan Joel Koh secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-17.

Untuk perlawanan akhir yang akan berlangsung esok, Malaysia akan turun bertemu Thailand untuk merebut kilauan emas bagi acara badminton lelaki berpasukan pada temasya kali ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen