Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) atau dikenali sebagai Harimau Muda dijadualkan menentang pasukan tuan rumah, Vietnam B-23 pada peringkat separuh akhir temasya Sukan SEA 2021, esok.
Harimau Muda yang dibimbing oleh Brad Maloney ini menempah tiket ke saingan separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B dengan mengutip 8 mata – kurang satu mata berbanding juara kumpulan, Thailand.
Bercakap mengenai pertemuan skuad muda Vietnam ini, skuad negara sudah lama tidak merasai kemenangan apabila menentang pasukan ini.
Untuk makluman semua, kali terakhir Harimau Muda merekodkan kemenangan menentang Vietnam adalah sekitar sembilan tahun yang lalu di temasya Sukan SEA 2013 Myanmar.
Ketika itu, skuad Harimau Muda dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee turun selaku juara bertahan berhasil merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Vietnam pada perlawanan akhir peringkat kumpulan.
Dua jaringan tersebut dijaringkan oleh Ashri Chuchu dan Saarvindran di penghujung permainan iaitu pada minit ke-82 dan ke-90+1 masing-masing. Sementara itu, jaringan saguhati Vietnam disumbangkan oleh Mac Hong Quan pada minit ke-90+4.
Kemenangan itu membolehkan Harimau Muda muncul juara Kumpulan A dan mengesahkan tempat ke saingan separuh akhir bertemu musuh tradisi, Indonesia B-23.
Selepas memenangi perlawanan yang berlangsung pada Disember 2013 ini, tiga pertembungan berikutnya gagal dimenangi oleh skuad Harimau Muda.
Tiga pertarungan tersebut menyaksikan Harimau Muda tumpas 1-5 (peringkat kumpulan, Sukan SEA 2015), 1-2 (kelayakan Piala Asia B-23 2016) dan 0-3 (perlawanan persahabatan).
Mampukah skuad Harimau Muda menamatkan kemarau kemenangan bertemu skuad Vietnam B-23 pada hari esok? Sama-sama kita nantikan.