Hasil undian bagi acara badminton individu Sukan SEA 2021 telah dikeluarkan pada hari ini dan perseorangan muda negara, Jacky Kok Jing Hong terpaksa berhadapan dengan juara Kejohanan Dunia BWF 2021, Loh Kean Yew sekali lagi.
Jacky yang berusia 20 tahun baru sahaja bertemu pemain yang sama dalam ketika turun mewakili Malaysia selaku perseorangan pertama (MD1) dalam acara badminton berpasukan lelaki, semalam.
Dalam perlawanan tersebut, Jacky yang berada di ranking ke-199 dunia tumpas “straight set” dengan skor 12-21 dan 12-21 dalam tempoh masa 37 minit permainan.
Walaupun dilihat sukar dan mencabar, Jacky perlu menumpaskan Kean Yew yang berada di ranking kesepuluh dunia merangkap pilihan pertama untuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2021 ini pada Pusingan 1, hari esok sekiranya mahu mara ke pusingan suku akhir.
Sementara itu, seorang lagi perseorangan muda negara, Lee Shun Yang yang berada di ranking ke-276 dunia akan memulakan acara individu dengan menentang pemain Laos, Phonesack Sokthavy yang tidak mempunyai sebarang ranking.
Featured Image: Badminton Asia