Sukan SEA: ‘Patatimo Boys’ Diundi Bertemu Juara Asia Dalam Acara Individu Pada Pusingan 1
May 18, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu No.4 Indonesia yang menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022, Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Rambitan menjadi lawan kepada Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal dalam acara badminton individu pada Pusingan 1, temasya Sukan SEA 2021.

Lawan kepada beregu muda negara yang mendapat julukan “Patatimo Boys” itu diketahui selepas hasil undian tersebut keluar pada hari ini.

Untuk makluman semua, Arif-Haikal yang berada di ranking ke-80 dunia ini belum pernah berentap menentang Pramudya-Yeremia (ranking ke-16) merangkap pilihan pertama temasya ini di mana-mana pentas antarabangsa, sebelum ini.

Sebagai rekod, Pramudya-Yeremia merangkul gelaran “Raja Asia” bagi kategori beregu lelaki selepas berjaya menumpaskan beregu No.1 Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam perlawanan akhir BAC 2022, awal Mei lalu.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun (ranking ke-34) pula mendapat laluan yang sedikit mudah apabila diundi menentang pasangan Vietnam, Do Tuan Duc dan Pham Hong Nam (ranking ke-345).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen