Artikel

Sukan SEA: Pelari Muda, Azeem Fahmi ‘False Start’ Tersingkir Di Peringkat Saringan

Pelari muda negara berusia 18 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bukan sahaja tidak dapat beraksi di pusingan final pecut 100 meter (m) bahkan disingkirkan seawal peringkat saringan ekoran “false start”.

Azeem yang turun beraksi di saringan kedua (Heat 2) di temasya Sukan SEA 2021 disingkirkan selepas dia didapati bermula awal sebelum daripada tembakan dilepaskan ke udara.

Bagaimanapun, jika dilihat kepada ulang tayang, kecoh dibincangkan oleh para ‘netizen’ bahawa pelari Filipina, Eric Shauwn Cray yang sebenarnya melakukan “false start” tersebut. 

Namun begitu, keputusan tersebut muktamad dan selepas Azeem disingkirkan, saringan itu diteruskan untuk mencari empat pelumba yang mara ke pusingan akhir.

Sementara itu, di peringkat saringan pertama (Heat 1), seorang lagi wakil negara, Muhammad Arsyad Md Saat, 20 tahun, mengesahkan kemaraan ke pusingan final selepas berjaya menamatkan larian di tempat ketiga.

Sebagai tambahan, Azeem dan Arsyad juga merupakan sebahagian daripada kuartet yang membantu Malaysia memenangi pingat perak dalam acara 4x100m, dua hari lalu.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

komen