Penghujung April lalu, syarikat pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) yang tersenarai di Bursa Malaysia, XOX Berhad memeterai perjanjian bersama Impact Media & Communication Sdn Bhd untuk mengambil alih Perak FC Sdn Bhd (Perak FC).
Pengambilalihan itu menjadikan XOX Berhad sebagai pemilik penuh pasukan yang beraksi di Liga Premier dan dibimbing oleh bekas penyerang skuad kebangsaan, Yusri Che Lah.
Semalam, syarikat itu memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikat miliknya iaitu XOX Pro Sport Sdn Bhd memeterai perjanjian penjualan saham bersama Impact Media & Communication untuk mengambil alih 2,500 unit saham biasa yang mewakili 100 kepentingan ekuiti Perak FC dengan nilai RM1.
Perak FC Kini Dimiliki Syarikat Perkhidmatan Telekomunikasi XOX https://t.co/rKmtqNI7cb
— Sukanz. (@sukanzcom) April 29, 2022
Dalam makluman yang sama, nilai RM1 itu diletak atas dasar kesediaan pembeli dan penjual iaitu XOX dan Impact Media & Communication selepas mengambil kira beberapa pertimbangan.
Antaranya, berdasarkan laporan kewangan beraudit setakat 30 Jun 2021, Perak FC merekodkan kerugian selepas cukai berjumlah RM2.3 juta serta hutang bersih sebanyak RM3.5 juta.
Selain itu, kesukaran operasi Perak FC dan hutang tertunggak setakat 31 Disember 2021 yang berjumlah sekitar RM7.1 juta turut menjadi asbab nilai RM1 dipersetujui kedua-dua pihak.
Sebagai tambahan, cadangan pengambilalihan ini akan dibiayai sepenuhnya daripada dana yang dijana secara dalaman dan cadangan pengambilalihan ini dijangka selesai pada suku ketiga 2024.
XOX turut menjelaskan cadangan pengambilalihan Perak FC ini adalah peluang untuk mengembangkan jangkauannya dengan membesarkan ekosistem menggabungkan bola sepak.
Katanya, Perak FC dianggarkan mempunyai setengah juta peminat dan Negeri Perak sendiri dikenali sebagai negeri yang mempunyai ramai peminat fanatik bola sepak dalam negara.
Ketika ini, XOX sudah melibatkan diri dalam sukan permotoran dengan sokongan berterusan dan tajaan terhadap The Komanz Kru Racing (TKKR). Pendapatan tahun-ke-tahun (year-on-year) meningkat dan pemerolehan pegangan pasaran sejajar dengan usahasama anatara XOX dan TKKR.