Pemenang pingat emas dalam acara bola sepak lelaki pada temasya Sukan SEA yang lalu, Vietnam bawah 23 tahun (B-23) menyingkirkan Malaysia B-23 di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.
Vietnam yang juga merupakan tuan rumah pada temasya kali ini berhasil menyingkirkan Malaysia atau dikenali sebagai skuad Harimau Muda dengan keputusan 1-0.
Bagaimanapun, kemenangan yang diraih oleh Vietnam yang dibimbing oleh jurulatih skuad kebangsaan seniornya, Park Hang-seo tidak datang dengan mudah.
Kedua-dua pasukan terlebih dahulu terikat tanpa jaringan selepas bermain selama 90 minit permainan sambil disaksikan puluhan ribu penyokong tuan rumah di Stadium Viet Tri, Phu Tho.
Keputusan Masa Penuh (Selepas Masa Tambahan)
Separuh Akhir Bola Sepak Sukan SEA 2021 | Khamis, 19 Mei 2022
VIETNAM 🇻🇳 1-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Linh Nguyen Tien 110’
▶️ Malaysia bertemu Indonesia bagi penentuan pingat gangsa, Ahad ini (22 Mei 2022)#FAM #HarimauMalaya #Vietnam2021 pic.twitter.com/rcpVgjj5n6
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 19, 2022
Keadaan ini memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sehingga 120 minit permainan.
Jaringan Vietnam hadir pada minit ke-110 menerusi penyerangnya, Nguyen Tien Minh. Gol itu terhasil menerusi tandukan bola yang datang daripada sepakan percuma terus menerjah gawang setelah penjaga gol negara, Azri Ghani gagal melakukan tumbukan untuk mengeluarkan bola daripada kotak penalti.
Kemenangan yang diraih oleh Vietnam ini menjadikan mereka bertemu Thailand B-23 yang dibimbing oleh Alexandre ‘Mano’ Polking di pentas final bagi merebut kilauan emas. Perlawanan akhir acara bola sepak lelaki ini dijadualkan berlangsung pada 22 Mei kelak.
Manakala skuad Harimau Muda pula akan menghadapi satu lagi perlawanan bertemu Indonesia B-23 bagi merebut pingat gangsa, pada hari sama. Skuad Garuda Muda kendalian Shin Tae-yong ini tidak dapat mara ke final selepas tumpas 0-1 kepada Thailand, petang tadi.
Featured Image: Football Association of Malaysia