Terbuka Thailand: Sze Fei-Izzuddin Hadapi Juara Dunia, Takuro-Yugo Sekali Lagi
May 20, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu badminton lelaki No.3 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin akan berhadapan dengan pasangan Jepun merangakap juara Kejohanan Dunia 2021, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi sekali lagi dalam saingan Terbuka Thailand 2022.

Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-12 dunia baru sahaja berhadapan dan merekodkan kemenangan ke atas pasangan No.3 dunia ini dalam saingan Piala Thomas, pada minggu lalu.

Kali ini, Sze Fei-Izzuddin akan bertemu Takuro-Yugo di peringkat suku akhir bagi merebut kemaraan ke peringkat separuh akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 BWF. Pertembungan antara kedua-dua pasangan ini dijadualkan berlangsung sekitar 6.25 petang nanti waktu Malaysia.

Untuk makluman semua, Sze Fei-Izzuddin berhasil menempah kemaraan ke peringkat suku akhir dengan menumpaskan pasangan adik beradik Popov dari Perancis secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-11 dalam tempoh sekitar setengah jam permainan, semalam.

Manakala, Takuro-Yugo pula mara selepas menyingkirkan beregu dari negara tembok besar, China iaitu Liang Wei Keng dan Wang Chang dengan keputusan 21-13, 19-21 dan 21-13 dalam pertarungan yang berlangsung hampir satu jam.

Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin sudah bertemu Takuro-Yugo sebanyak tiga kali sebelum ini. Kemenangan yang dicatat pada minggu lalu merupakan kemenangan sulung Sze Fei-Izzuddin ke atas pasangan dari negara matahari terbit ini.

Sekiranya Sze Fei-Izzuddin merekodkan satu lagi kemenangan ini, mereka akan dapat menyeimbangkan rekod pertemuan menentang Takuro-Yugo ini menjadi dua kemenangan dan dua kekalahan.

Featured Image: Badminton Asia

Komen