Sukan SEA: Gandingan Baharu Yee See-Su Hui Ke Separuh Akhir Kategori Beregu Wanita
May 20, 2022 Hafizuddin Omar

Gandingan baharu pemain senior dan junior, Cheah Yee See dan Cheng Su Hui mempersembahkan prestasi yang memberangsangkan sehingga berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara badminton individu kategori beregu wanita di temasya Sukan SEA 2021.

Beregu yang terdiri daripada pemain berusia 26 dan 18 tahun masing-masing ini mengesahkan kemaraan tersebut selepas berhasil mengalahkan pasangan Filipina, Airah Albo-Thea Pomar secara “straight set” dengan skor 21-13 dan 21-11 di peringkat suku akhir, hari ini.

Menanti mereka di peringkat separuh akhir adalah beregu Thailand, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard yang menghuni ranking ke-28 dunia merangkap pilihan kedua untuk memenangi pingat emas temasya ini.

Untuk makluman, beregu Thailand ini mara selepas menundukkan wakil Indonesia, Febby Valencia Dwijayanti Gani dan Ribka Sugiarto secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 22-20.

Sebagai tambahan, perlawanan separuh akhir antara Yee See-Su Hui dan adik beradik Aimsaard itu dijadualkan berlangsung pada hari esok.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen