Sukan SEA: Lee, Siti Tumpas Kepada Perseorangan No.1 & No.2 Thailand
May 20, 2022 Hafizuddin Omar

Tiada kelibat pemain perseorangan badminton Malaysia pada peringkat separuh akhir samada dalam kategori lelaki atau wanita di temasya Sukan SEA 2021.

Ini selepas kedua-dua wakil tunggal negara dalam kategori tersebut tumpas kepada lawan masing-masing di peringkat suku akhir yang berlangsung pada hari ini.

Perseorangan lelaki muda negara, Lee Shun Yang gagal meneruskan kemaraan apabila ditewaskan oleh pemain No.1 Thailand merangkap juara Kejohanan Dunia Remaja tiga kali berturut-turut, Kunlavut Vitidsarn (ranking ke-18) secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-11 dalam tempoh masa 39 minit.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan kedua melibatkan Lee dan Kunlavut di pentas antarabangsa. Pertemuan pertama antara kedua-dua pemain di sebuah kejohanan remaja bawah 19 tahun (B-19) turut memihak kepada Kunlavut.

Manakala, perseorangan wanita Malaysia yang berusia 17 tahun, Siti Nurshuhaini Azman pula ditewaskan oleh pemain No.2 Thailand, Pornpawee Chochuwong (ranking ke-10) juga secara “straight set” dengan pungutan 21-17 dan 21-8 dalam tempoh 35 minit.

Berbeza dengan Lee dan Kunlavut, pertemuan antara Siti dan Pornpawee adalah yang pertama kali di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Kunlavut dan Pornpawee yang mara ke peringkat separuh akhir akan menentang pemain Singapura, Jason Teh Jia Heng dan pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen