Terbuka Thailand: Pearly-Thinaah Buatkan Beregu No.1 Jepun Tersungkur Di Suku Akhir
May 20, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mencipta kejutan menumpaskan beregu No.1 Jepun di peringkat suku akhir Terbuka Thailand 2022.

Lebih manis, kejutan ke atas Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota merangkap beregu No.4 dunia itu dilakukan dengan bergaya menerusi kemenangan yang diraih secara “straight set”.

Pertarungan tersebut disudahkan oleh Pearly-Thinaah dengan pungutan mata 24-22 dan 21-12 dalam tempoh masa 43 minit permainan di atas gelanggang.

 

Kemenangan ini menjadikan rekod pertemuan melibatkan Pearly-Thinaah menentang Yuki-Sayaka di pentas antarabangsa menjadi seimbang dengan satu kemenangan masing-masing.

Selain itu, kemaraan Pearly-Thinaah ke pentas separuh akhir di kejohanan ini juga adalah yang pertama dalam kejohanan badminton individu, pada tahun ini.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir nanti, Pearly-Thinaah akan berhadapan dengan satu lagi wakil Jepun iaitu Nami Matsuyama dan Chiharu Shida yang berada di ranking ketujuh dunia.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen