Beregu Indonesia ternyata menjadi masalah dan kelemahan buat pasangan badminton lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada tahun ini – umpama batu kryptonite kepada adiwira, Superman.
Terbaru, Aaron-Wooi Yik yang menguni ranking keenam dunia kalah lagi kepada beregu Indonesia iaitu Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto sekaligus ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Terbuka Thailand 2022.
Fajar-Rian yang menduduki tangga ketujuh dunia berhasil mencipta kemenangan ke atas Aaron-Wooi Yik secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-14 di peringkat separuh akhir kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 500 BWF yang berlangsung sebentar tadi.
GR TOYOTA GAZOO RACING Thailand Open 2022
MD – Semi final
🇮🇩Fajar ALFIAN🏅
21 21 🇮🇩Muhammad Rian ARDIANTO🏅
19 14 🇲🇾Aaron CHIA
🇲🇾Wooi Yik SOH🕗 in 34 minutes
https://t.co/qJBnHsq8TD— BWFScore (@BWFScore) May 21, 2022
Untuk makluman semua, pasangan yang sama ini turut mengalahkan Aaron-Wooi Yik ketika beraksi di pentas final kejohanan Terbuka Swiss 2022, bulan Mac lalu.
Selain itu, sepasang lagi beregu negara republik tersebut, Pramudya Kusmawardana dan Yeremia Rambitan turut menjadi duri dalam daging kepada Aaron-Wooi Yik ketika beraksi di pentas final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022, awal Mei baru-baru ini.
Kekalahan itu menyebabkan Aaron-Wooi Yik hilang peluang untuk merangkul gelaran ‘Raja Asia’ dalam kategori beregu lelaki.
Satu-satunya kemenangan ke atas beregu Indonesia yang dirakamkan oleh Aaron-Wooi Yik pada tahun ini adalah ketika menentang Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, Februari lalu.
Sementara itu, Fajar-Rian yang mara ke pentas akhir akan bertemu samada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi atau beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen untuk merebut kejuaraan Terbuka Thailand pada hari esok.
Featured Image: Badminton Asia