Terbuka Thailand: Lee Zii Jia Bergelar Juara Selepas Kalahkan Pemenang Olimpik Remaja 2018
May 22, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia berhasil merangkul gelaran juara Terbuka Thailand 2022 selepas menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di pentas final, hari ini.

Zii Jia yang berada di tangga keenam dunia berjaya menumpaskan Li Shi Feng dari China menerusi tiga set pertarungan yang memakan masa 70 minit permainan di atas gelanggang.

Dalam pertarungan tersebut, Shi Feng yang berada ranking ke-49 dunia terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor 21-17. Namun begitu, Zii Jia bangkit mengatasi pemain berusia 22 tahun itu dengan skor 21-11 sekaligus mengheret permainan ke “rubber set”.

Di set terakhir, pertarungan berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain beberapa kali “deuce point”. Akan tetapi, Zii Jia berjaya mengharungi “deuce point” tersebut dan tamatkannya dengan skor 23-21 sekaligus merangkul gelaran Jelajah Dunia Super 500 BWF yang pertamanya, pada tahun ini.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan keduanya menentang Shi Feng di pentas kejohanan antarabangsa. Untuk makluman semua, Zii Jia tumpas ketika bertarung buat pertama kali menentang Shi Feng dalam saingan China Masters 2018. 

Sebagai tambahan, kemenangan yang diraih pada hari ini merupakan kejuaraan keenam diraih dalam karier individu peringkat senior.

Antara kejuaraan yang dirangkulnya sebelum ini adalah Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022, All England 2021 (Super 1000), Terbuka Taiwan 2018 (Super 300), pingat emas Sukan SEA 2019 dan kejohanan Antarabangsa Poland 2017.

Featured Image: VICTOR Facebook & Badminton Association of Thailand

Komen