Sukan SEA: Indonesia Raih Pingat Gangsa, Harimau Muda Pulang Tangan Kosong
May 22, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad Indonesia bawah 23 tahun (B-23) dapat mengubati kekecewaan tumpas di peringkat separuh akhir dengan membawa pulang pingat gangsa dalam acara bola sepak lelaki di temasya Sukan SEA 2021.

Kepingan pingat tersebut berjaya dibawa pulang oleh skuad bimbingan Shi Tae-yong selepas menumpaskan Malaysia B-23 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, petang tadi.

Dalam perlawanan terbabit, Malaysia dan Indonesia terlebih dahulu terikat dengan keputusan 1-1 selepas 90 minit permainan. Jaringan daripada kedua-dua pasukan dihasilkan Ronaldo Joybera (Indonesia)  dan Hadi Fayyadh (Malaysia) pada minit ke-68 dan ke-81 masing.

Ekoran keputusan seri tersebut, perlawanan tidak dilanjutkan menjadi 120 minit permainan. Sebaliknya, ianya terus dibawa kepada penentuan sepakan penalti bagi mencari pemenangnya.

Dalam penentuan tersebut, skuad berjulukan Garuda Muda memastikan pingat gangsa menjadi miliknya apabila memenangi penentuan sepakan penalti dengan skor 4-3 mengatasi Malasysia.

Untuk makluman semua, Indonesia B-23 merupakan naib juara bertahan bagi edisi Sukan SEA yang berlangsung di Manila, Filipina tiga tahun yang lalu. Manakala skuad kebangsaan pula hanya beraksi setakat peringkat kumpulan sahaja.

Featured Image: PSSI

Komen