Satu acara baharu diperkenalkan oleh badan induk sepak takraw dunia, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) iaitu regu campuran yang terdiri daripada seorang pemain lelaki serta dua pemain wanita.
Perkembangan tersebut dimaklumkan sendiri oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader sepertimana dilaporkan Bernama. Para peminat boleh menyaksikan kemunculan sulung acara baharu itu di Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai hadapan.
Menjelaskan mengenai acara baharu ini, pemain lelaki mahupun pemain wanita bebas untuk beraksi di mana-mana posisi samada tekong, apit kanan atau apit kiri. Selain itu, jantina untuk dua pemain simpanan pula bebas ditetapkan berdasarkan strategi jurulatih masing-masing.
Pada masa yang sama, ISTAF turut melakukan sedikit pindaan peraturan permainan terutamanya melibatkan peralatan-peralatan yang digunakan.
Antaranya, bola yang digunakan adalah bola jenis bagi kategori wanita iaitu 160 gram. Manakala paras ketinggian jaring yang direntang adalah mengikut kategori lelaki, 1.55 meter di tiang dan 1.52 di tengah.
Sebagai tambahan, ISTAF turut memperkenalkan acara baharu campuran kuadran (berempat) yang terdiri daripada 2 pemain lelaki, 2 pemain wanita di dalam gelanggang serta dua pemain simpanan daripada kedua-dua jantina di kejohanan yang sama kelak.
Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia