Son Jadi Pemain Asia Pertama Menang Kasut Emas EPL – Tanpa Sebarang Gol Penalti
May 23, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain skuad kebangsaan Republik Korea, Son Heung-min mencipta sejarah selaku pemain asia pertama memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anugerah itu dirangkul selepas menjaringkan 23 gol untuk kelabnya, Tottenham Hotspur bagi saingan musim 2021/22. Lebih menarik, kesemua jaringan yang direkodkan pemain berusia 29 tahun ini terhasil tanpa sebarang gol berpunca daripada sepakan penalti.

Namun begitu gelaran penjaring terbanyak EPL itu terpaksa dikongsi bersama-sama penyerang Liverpool, Mohamed Salah yang turut mengumpul 23 gol musim ini. Akan tetapi, lima daripada jaringan dihasilkan penyerang skuad kebangsaan Mesir ini disumbangkan menerusi sepakan penalti.   

Untuk makluman semua, Son merupakan pemain Spurs ketiga muncul selaku penjaring terbanyak dalam sejarah sejak EPL diperkenalkan musim 1992/93. Sebelum ini, dua pemain yang merangkul anugerah yang sama ialah Teddy Sheringham (1992/93) dan Harry Kane (2015/16, 2016/15 dan 2020/21).

Sebagai tambahan, Son telah menjaringkan 131 gol dalam kesemua pertandingan sejak menyertai Spurs bermula musim 2015/16. Selain itu, dia turut menyumbang 74 bantuan gol kepada rakan sepasukan serta merekodkan 325 penampilan secara keseluruhan.

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen