Artikel

Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 Jadi Nama Baharu Kejohanan ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara

Kejohanan bola sepak terulung di rantau asia tenggara anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) tidak lagi dikenali sebagai Piala AFF Suzuki bermula edisi ke-14 yang akan berlangsung penghujung tahun ini.

Ianya berikutan AFF memaklumkan membuka lembaran baharu bersama pembuat barangan elektrik dan elektronik global berpangkalan di Jepun, Mitsubishi Electric, pada hari ini.

Mitsubishi bukan sahaja hadir selaku rakan kerjasama bahkan diangkat sebagai “Title Sponsor” sekaligus nama kejohanan yang diumpamakan sebagai ‘Piala Dunia’ dalam kalangan peminat bola sepak asia tenggara ini bertukar menjadi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Sebagai tambahan, selaku “Title Sponsor”, Mitsubishi Electric turut mendapat hak untuk mempersembahkan Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) termasuk menjalankan pelbagai aktiviti pengaktifan jenama di platform digital dan luar talian seperti di stadium dan sebagainya.

Kedatangan Mitsubishi Electric ini juga menamatkan kerjasama lebih 12 tahun antara AFF dan syarikat pembuat kereta juga berpangkalan di negara matahari terbit, Suzuki.

Sebagai rekod, Suzuki menjadi “Title Sponsor” buat kejohanan bola sepak ini sejak tahun 2008 menggantikan jenama minuman keras sebelum daripada itu.

Featured Image: AFF Mitsubishi Electric Cup

komen