Bahrain Para Badminton: Cheah Liek Hou Raih Kejuaraan Berganda Dalam Acara Perseorangan & Beregu
May 23, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou meneruskan kecemerlangannya merangkul satu lagi kejuaraan baharu di Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Bahrain 2022, Sabtu lalu.

Lebih manis, Liek Hou, 34 tahun berjaya merangkul dua kejuaraan hasil daripada menyertai dua acara berbeza di kejohanan terbabit. Kejuaraan pertama hadir menerusi acara yang cukup sinonim disertainya iaitu perseorangan SU5 kategori lelaki.

Dalam acara terbabit, Liek Hou yang merupakan pemenang pingat emas Paralimpik 2020 muncul juara setelah menumpaskan pemain Poland, Bartlomiej Mroz secara “straight set” dengan skor 21-7 dan 21-12 dalam perlawanan akhir.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kejuaraan kesembilan berturut-turut dirangkul sejak memenangi saingan di Kejohanan Badminton Para Denmark 2019. Selain itu, kemenangan Liek Hou ini melebarkan rekod ‘kebal’ – tidak dikalahkan – oleh mana-mana pemain kepada 47 perlawanan.

Manakala, satu lagi kejuaraan dirai Liek Hou di kejohanan tersebut adalah dalam acara beregu lelaki bergandingan bersama Muhammad Fareez Anuar dengan mengalahkan pasangan India, Chirag Baretha dan Raj Kumar dalam perlawanan akhir yang berkesudahan dengan keputusan 14-21, 21-19 dan 21-7.

Minggu ini, Liek Hou terus berada di rantau timur tengah untuk beraksi dalam saingan Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Dubai 2022 yang akan bermula esok (24 Mei).

Di kejohanan ini, Liek Hou kekal beraksi dalam dua acara perseorangan SU5 serta beregu SU5 sepertimana di kejohanan yang disertainya minggu lalu.

Featured Image: Facebook Cheah Liek Hou

Komen