Ranking BWF: Lee Zii Jia ‘Top 5’ Dunia – Pintas Pemenang Gangsa Sukan Olimpik
May 24, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menempatkan dirinya sebagai pemain No.5 dunia pada minggu ini. Kedudukan itu disahkan menjadi milik Zii Jia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia (World Ranking) sebentar tadi.

Sebelum ini, Zii Jia menghuni ranking keenam dunia namun kejayaannya mara ke perlawanan akhir serta memenangi saingan Terbuka Thailand – Jelajah Dunia Super 500 BWF – di Bangkok, Ahad lalu telah memberikannya 9,200 mata.

Pungutan mata itu membolehkan pemain kelahiran Alor Setar yang berusia 24 tahun ini mengumpul 90,378 mata daripada 10 kejohanan yang diambilkira untuk pengiraan ranking dunia.

Ianya memadai untuk memintas kedudukan pemain Indonesia merangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2022 Tokyo, Anthony Sinisuka Ginting yang kini mempunyai 87,879 mata.

 

Untuk makluman semua, ini merupakan kedudukan tertinggi pernah diraih oleh Zii Jia dalam karier seniornya setakat ini. 

Pada masa yang sama, Zii Jia dilihat berpeluang cerah merampas kedudukan No.4 dunia dalam tempoh terdekat dengan syarat meneruskan persembahan konsisten mara ke pentas separuh akhir atau akhir dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia BWF yang mendatang. 

Terdapat beberapa kejohanan besar di rantau asia tenggara akan dilangsungkan dua bulan berikutnya yang boleh digunakan oleh Zii Jia untuk mengutip mata sebanyak mungkin. 

Antaranya, saingan Indonesia Masters (Super 500), Terbuka Indonesia (Super 1000), Terbuka Malaysia (Super 750), Malaysia Masters (Super 500) dan Terbuka Singapura (Super 500). Kesemua kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 7-12 Jun, 14-19 Jun, 28 Jun-3 Julai, 5-10 Julai dan 12-17 Julai kelak masing-masing.

Untuk makluman semua, pungutan mata yang dimiliki pemain senior Taiwan yang kini menghuni ranking keempat dunia, Chou Tien Chen tidak begitu jauh jika dibandingkan dengan mata dimiliki oleh Zii Jia. Ketika ini, Tien Chen memiliki 93,776 mata dan perbezaan mata antara kedua-dua pemain hanyalah 3,398 mata.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen