Skuad Malaysia bawah 16 tahun (B-16) bakal berhadapan dengan musuh tradisinya merangkap tuan rumah, Indonesia B-16 dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-17, yang dijadualkan berlangsung 1-9 Oktober hadapan.
Pertemuan itu disahkan apabila kedua-dua pasukan diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Palestin, Guam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam majlis undian yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube, AFC Asian Cup, hari ini.
Selain itu, pasukan-pasukan yang mengisi sembilan buah kumpulan lain merangkumi Kumpulan A, C, D, E, F, G, H, I dan J turut diketahui menerusi majlis undian itu tadi.
The road to 🇧🇭 Bahrain begins! #AFCU17 Qualifiers is set and we have the groups in place 😃
📆 October 1-9, 2022
4️⃣4️⃣ teams with 1️⃣6️⃣ spots up for grabs, who will fill them? pic.twitter.com/llLazBywL6
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) May 24, 2022
Saingan kelayakan ini dijalankan bagi memilih 15 pasukan yang akan bertarung bersama-sama tuan rumah, Bahrain dalam saingan Piala Asia B-17 yang akan dilangsungkan pada tahun hadapan.
Daripada 44 pasukan yang mengambil bahagian, hanya juara setiap kumpulan serta lima naib juara terbaik merentasi semua kumpulan layak mara ke saingan Piala Asia B-17 Bahrain 2023 tersebut.
Untuk makluman semua, saingan ini dahulunya dikenali sebagai Kejuaraan AFC B-16 atau Kejuaraan AFC B-17. Sebagai rekod, kali terakhir ianya dilangsungkan adalah pada tahun 2018 di Malaysia.
Pada edisi tersebut, Jepun muncul selaku juara selepas menumpaskan Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan keputusan 4-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebagai tambahan, saingan pada tahun 2020 dibatalkan oleh badan induk merangkap penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Featured Image: AFC