Ranking BWF: Daren Kembali Jadi Pemain ‘Top 30’ Dunia Selepas Dua Tahun
May 24, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton senior negara, Liew Daren kembali menyertai kelompok 30 pemain terbaik dunia selepas mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Thailand 2022 – Jelajah Dunia Super 500 BWF – pada minggu lalu.

Kemaraan ke peringkat separuh akhir tersebut membolehkan pemain bebas (independent) berusia 34 tahun ini merekodkan peningkatan enam anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-28 dunia dalam kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada hari ini.

Di kejohanan terbabit, Daren mara selepas menumpaskan Prannoy Haseena Sunil Kumar (Pusingan 32), Koko Watanabe (Pusingan 16) dan Zhao Jun Peng (suku akhir).

Bagaimanapun, dia tidak dapat mara ke peringkat akhir apabila terpaksa akur tumpas kepada “sparring partner” atau rakan sepelatihnya sendiri, Lee Zii Jia yang akhirnya bergelar juara dalam kategori perseorangan lelaki.

Sebagai rekod, Daren berada di dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia ini adalah sekitar dua tahun yang lalu sebelum menurun kepada ranking ke-41 pada 14 Januari 2020.

Sementara itu, kemaskini tersebut memperlihatkan perkembangan yang kurang enak apabila pemain muda yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong turun dua anak tangga dan menghuni ranking ke-48 dunia, minggu ini.

Manakala untuk beberapa pemain lain seperti Soong Joo Ven, Cheam June Wei, Aidil Sholeh dan Leong Jun Hao pula kekal di tangga ke-59, ke-72, ke-100 dan ke-124 masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen