Skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) bakal berhadapan dengan naib juara kejohanan Piala Asia B-20 edisi lalu, Republik Korea dalam pusingan Kelayakan Piala Asia B-20 yang akan berlangsung pada pertengahan September nanti.
Kedua-dua pasukan, Malaysia dan Republik Korea akan disertai oleh Mongolia (tuan rumah) serta Sri Lanka dalam Kumpulan E berdasarkan hasil undian yang dijalankan dan disiarkan secara langsung di saluran Youtube, AFC Asian Cup, petang tadi.
Selain itu, majlis undian tersebut turut membahagikan baki 40 pasukan lain ke dalam sembilan buah kumpulan lagi yang terdiri daripada Kumpulan A, B, C, D, F, G, H, I dan J.
https://twitter.com/afcasiancup/status/1529019808016175105?s=20&t=4ugIADBfMr3rpT0KmVsbjw
Untuk makluman semua, hanya juara setiap kumpulan serta lima naib juara terbaik merentasi kesemua kumpulan sahaja yang dapat mara ke saingan Piala Asia B-20 di Uzbekistan pada tahun hadapan.
Sebagai tambahan, Republik Korea terpaksa akur membawa pulang gelaran naib juara di edisi yang lalu setelah tumpas kepada Arab Saudi pada perlawanan akhir.
Edisi 2020 pula tidak dapat dijalankan setelah penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia terpaksa membatalkannya ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika itu.
Featured Image: AFC