Hoki Piala Asia: Speedy Tigers Tundukkan Korea 5-4, Raih Kemenangan Kedua Kumpulan B
May 24, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan kedua Kumpulan B, saingan Hoki Piala Asia 2022 dengan menumpaskan Republik Korea.

Skuad yang mendapat julukan Speedy Tigers kendalian Arul Selvaraj ini merekodkan kemenangan dengan 5-4 ke atas Korea hasil jaringan Norsyafiq Sumantri (minit ke-11, ke-27), Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-17, ke-52) dan Mohamad Ashran Hamsani (minit ke-32).

Manakala jaringan-jaringan oleh Korea pula disumbangkan oleh Yang Ji-hun (minit ke-25, ke-56), Jang Jong-hyun (minit ke-34) dan Kim Sung-hyun (minit ke-40).

Kemenangan yang diraih ini membolehkan Malaysia memungut tiga mata sekaligus mengumpul enam mata daripada dua perlawanan. Ia juga membolehkan Malaysia mengungguli saingan Kumpulan B.

Bagaimanapun, Malaysia belum dapat mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya. Pencabar terdekat, Korea dan Bangladesh berpeluang untuk menafikan kemaraan Malaysia sekiranya mereka merekodkan kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Untuk perlawanan terakhir, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bangladesh. Perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang (waktu Malaysia) pada Khamis nanti.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen