Ranking BWF: Hoki-Kobayashi Rampas Kedudukan No.2 Dunia Daripada ‘The Daddies’
May 25, 2022 Hafizuddin Omar

Sejak Ogos 2019, ranking kedua dunia bagi kategori beregu lelaki menjadi milik mutlak pasangan veteran Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.

Namun begitu, kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memperlihatkan kedudukan No.2 dunia itu telah bertukar tangan buat pertama kali menjadi milik pasangan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Pasangan dari negara matahari terbit itu merampas kedudukan tersebut setelah dinobatkan juara Terbuka Thailand 2022 – Jelajah Dunia Super 500 BWF – yang memberikan mereka 9,200 mata.

Pungutan mata tersebut membolehkan mereka mengumpul 104,350 mata dan memintas pasangan berjulukan ‘The Daddies’ yang mempunyai 104,195 mata, pada minggu ini.

Sebagai rekod, prestasi cemerlang mereka dipamerkan bermula dengan memenangi saingan Terbuka Denmark, Indonesia Masters, Jelajah Dunia Akhir BWF serta Kejuaraan Dunia BWF yang berlangsung pada tahun lalu.

Pencapaian mereka pada awal tahun ini tidak kurang hebatnya dengan mara secara konsisten ke peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan individu yang mereka sertai iaitu Terbuka Jerman, Kejohanan Terbuka Seluruh England dan Kejohanan Badminton Asia sebelum merangkul kejuaraan dalam saingan Terbuka Thailand, Ahad lalu.

Untuk pengetahuan semua, kedudukan No.2 dunia ini merupakan yang tertinggi pernah dicapai oleh Hoki-Kobayashi dalam karier senior mereka setakat ini.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen