Artikel

Bekas Jurulatih Sri Pahang Kembali Kemudi Skuad Kebangsaan Filipina

Bekas ketua jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley bergabung kembali bersama skuad kebangsaan Filipina menjelang pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Penggabungan semula jurulatih Amerika-Jerman berusia 61 tahun bersama skuad The Azkals itu dikongsikan sendiri menerusi satu hantaran di laman sosialnya dan badan induk bola sepak negara terbabit, pada hari ini.

Sebelum ini, Thomas dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Tok Gajah untuk musim 2021 namun selepas dua perlawanan, dia “direhatkan” oleh pengurusan Sri Pahang selepas tumpas dalam dua perlawanan berturut-turut.

Sebagai rekod, Thomas mengendalikan skuad Filipina bermula tahun 2014 hingga 2018. Antara sumbangan terbesarnya ketika itu adalah membawa Filipina layak ke saingan Piala Asia edisi 2019 buat pertama kali dalam sejarah.

Bagaimanapun kontraknya tidak disambung oleh Persatuan Bola Sepak Filipina (PFF) pada tahun 2018 dia tidak dapat membimbing The Azkals di pentas berprestij benua asia tersebut.

Kali ini, khidmatnya kembali ditagih oleh PFF bagi membimbing skuad The Azkals melepasi saingan Kumpulan B yang terdiri daripada Palestin, Yaman dan Mongolia bermula pada 8 hingga 14 Jun kelak.

Featured Image: Facebook Thomas Dooley

komen