Saingan Netball Super League (NSL) 2022 kembali menemui para peminat di Stadium Juara, Kuala Lumpur bermula 3 hingga 26 Jun kelak.
Penganjuran edisi kedua ini tampil dengan nama baharu apabila aplikasi penstriman popular, sooka tampil selaku penaja utama rasmi sekaligus menjadikan saingan bola jaring ini dikenali sebagai sooka NSL 2022.
Dimaklumkan, saingan sulung pada tahun lalu mendapat sambutan yang begitu hangat apabila mencatatkan rating tertinggi 3 juta tontonan di saluran televisyen Astro Arena dan di aplikasi Astro GO. Sementara itu, sebanyak 679,000 tontonan pula direkodkan melalui platform digital.
Sepertimana saingan NSL 2021, ianya disertai oleh lapan pasukan yang sama iaitu KL Wildcats (juara bertahan), Johor Jewels, Selangor Angels, Perak Pheonix, Melaka Mystic, Negeri Sembilan Venom, Kedah Sunshine dan Pahang Tulip.
Namun begitu, saingan NSL 2022 hadir dengan format kejohanan baharu. Musim ini, ianya dipertandingkan secara “single round robin” dimana setiap pasukan akan bertemu dan berentap dengan semua pasukan yang ada.
Bagi yang berminat untuk hadir menyaksikan saingan NSL 2022 secara fizikal di Stadium Juara, tiket boleh dibeli daripada laman sesawang www.tickethotline.com.my untuk menontonnya pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang berlangsungnya saingan ini.