Kesukaran untuk membuat penilaian menyebabkan ketua jurulatih skuad kebangsaan, tidak menyenaraikan lebih ramai pemain luar negara dan memberikan tumpuan khusus terhadap pemain dalam negara.
Itu jawapan balas jurulatih kelahiran Korea berusia 53 tahun ini ketika menjawab persoalan ketiadaan beberapa lagi pemain luar negara yang boleh mewakili skuad Harimau Malaya seperti Wan Kuzain dan Omar Raiyan Kama Azlan.
Bagaimanapun, Pan-gon tetap menyenaraikan beberapa pemain luar negara yang sudah pernah menyarung jersi Harimau Malaya di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe seperti Dion Cools, Junior Eldstal dan Liridon Krasniqi untuk menyertai kem latihan pusat pada kali ini.
“Saat ini agak sukar untuk (kami) menilai pemain di luar negara, saat ini kami tumpu kepada menilai pemain dalam negara sahaja,” jelasnya dalam sidang media sebelum perlawanan Malaysia menentang Brunei, pada hari ini.
Menurut Pan-gon, sehingga kini, dia dan barisan kejurulatihan telah menilai sekitar 80 pemain sebelum memanggil 30 pemain menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia menjelang aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023.
Untuk makluman semua, sebelum turun beraksi di pusingan kelayakan terbabit, Malaysia bimbingan Pan-gon akan diuji dalam dua perlawanan antarabangsa tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong terlebih dahulu.
Kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung esok (27 Mei) dan Selasa (1 Jun) hadapan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Selepas melalui dua perlawanan terbabit, Pan-gon akan mengumumkan senarai akhir pemain yang akan dipilih untuk mengharungi saingan kelayakan menentang Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh pada bulan Jun kelak.
Featured Image: PFAM