Skuad senior hoki lelaki kebangsaan disahkan layak menyertai kejohanan hoki lelaki Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India.
Skuad negara mendapat pengesahan awal ke saingan tersebut selepas India merangkap tuan rumah kejohanan dunia berhasil melayakkan diri bersama-sama Jepun, Malaysia dan Republik Korea ke peringkat ‘Super 4’ kejohanan hoki Piala Asia 2022, semalam.
Untuk makluman semua, kejohanan hoki Piala Asia ini menawarkan tiga tiket kepada tiga pasukan terbaik – juara, naib juara dan tempat ketiga – untuk menyertai saingan Piala Dunia.
Congratulations#heroasiacup2022 pic.twitter.com/GDRcWRJHXK
— Asian Hockey Federation (@asia_hockey) May 26, 2022
Namun begitu, kemaraan India ke peringkat ‘Super 4’ ini secara tidak langsungnya memberikan tiket automatik kepada tiga buah pasukan lain. Ini kerana India telah pun mendapat slot automatik ke saingan Piala Dunia selaku tuan rumah.
Sementara itu, pengesahan kemaraan Speedy Tigers ke Piala Dunia menjadikan mereka bakal muncul buat kali kesembilan di pentas tersebut. Selain itu, ini juga bakal menjadi penampilan ketiga berturut-turut sejak tahun 2014.
Sebagai rekod, skuad hoki lelaki kebangsaan, tampil buat pertama kali dalam saingan Piala Dunia pada edisi 1973 yang berlangsung di Amstelveen, Belanda.
Manakala pencapaian terbaik Malaysia di pentas ini hadir ketika edisi berikutnya, Piala Dunia 1975 ketika menjadi tuan rumah. Malaysia menamatkan saingan tersebut di tangga keempat. Berikut adalah pencapaian Malaysia di pentas Piala Dunia:
Piala Dunia 1973: Tempat Ke-11
Piala Dunia 1975: Tempat Ke-4
Piala Dunia 1978: Tempat Ke-10
Piala Dunia 1982: Tempat Ke-10
Piala Dunia 1998: Tempat Ke-11
Piala Dunia 2002: Tempat Ke-8
Piala Dunia 2014: Tempat Ke-12
Piala Dunia 2018: Tempat Ke-15
Featured Image: Malaysian Hockey Confederation & FIH