Perlawanan Tier 1: Pasukan Ke-191 Dunia Tumpas Kepada Harimau Malaya 4-0 
May 27, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya tiada masalah untuk merakamkan kemenangan ke atas Brunei Darussalam dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi. 

Perlawanan yang turut berfungsi sebagai aksi pemanas badan sebelum mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 ini menyaksikan pasukan Malaysia bimbingan Kim Pan-gon berhasil merekodkan kemenangan dengan keputusan 4-0.

Dua daripada jaringan tersebut hadir pada babak pertama menerusi Syafiq Ahmad (16’) dan Syamer Kutty Abba (45+1) yang berpunca daripada “assist” daripada  Ruventhiran Vengadeson dan Faisal Halim masing-masing.

Sementara itu, babak kedua menyaksikan dua lagi jaringan menyusul. Penambahan jaringan itu hadir melalui Faisal Halim (58’) sebelum ianya ditambah oleh pemain gantian, Guilherme De Paula (83’).

Kedudukan 4-0 itu berlanjutan sehingga wisel ditiup oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan pasukan di tangga ke-191 dunia bimbingan Rosanan Samak ini terpaksa akur tumpas tanpa sebarang jaringan.

Untuk makluman semua, Malaysia akan berhadapan dengan satu lagi perlawanan pemanas badan. Mereka akan turun menguji bekas pasukan bimbingan Pan-gon suatu masa dahulu, Hong Kong pada 1 Jun kelak.

Featured Image: PFA Malaysia

Komen