Peminat Marah Kalau Menang Dengan Corak Permainan Negatif & Tunggu Lawan Buat Kesilapan 
May 31, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Kim Pan-gon meletakkan sasaran untuk mencetak kemenangan menerusi corak permainan yang boleh dibanggakan para peminat.

Perkara itu juga menjadi keutamaannya terhadap skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Hong Kong dalam perlawanan antarabangsa tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

“Umumnya kita perlu meletakkan sasaran apabila bermain, ini akan menjadi keterujaan kita untuk mengejar (sasaran itu). Kalau tiada sasaran, (akan jadi) masalah juga.”

“Jika kita hanya bermain hanya untuk meraih kemenangan, (dan) kita bermain dengan negatif, menunggu pihak lawan membuat kesilapan,  cara (corak permainan) ini akan membuat para penyokong marah.

“Saya sedang berusaha untuk menampilkan (permainan) menarik, yang membuatkan para penyokong berbangga, dan berjuang untuk nama Malaysia. Inilah sasaran kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Wisma FAM, hari ini.

Dalam perlawanan menentang Brunei Darussalam pada 27 Mei lalu, Malaysia kendalian Pan-gon berhasil mencetak kemenangan 4-0 hasil jaringan Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Faisal Halim dan Guilherme de Paula.

Perlawanan menentang Brunei dan Hong Kong ini merupakan persiapan Malaysia sebelum mengharungi saingan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula 8 Jun nanti.

Kedua-dua perlawanan ini juga menjadi medan buat Pan-gon untuk membuat penilaian terhadap semua pemain yang dipanggil sebelum memuktamadkan 23 pemain yang akan didaftarkan untuk mengharungi pusingan akhir itu kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen