Artikel

Hoki Piala Asia: Malaysia Atasi Jepun 5-0 Dalam Perlawanan Akhir ‘Super 4’

Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan perlawanan akhir dalam kelompok ‘Super 4’ saingan Hoki Piala Asia 2022 menentang Jepun dengan keputusan yang memberangsangkan iaitu 5-0, sebentar tadi.

Kelima-lima jaringan skuad bimbingan Arul Selvaraj ini disumbangkan oleh Shello Silverius (15’), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (30’), Muhammad Razie Abd Rahim (35’), Muhammad Syafiq Hassan (35’) dan Mohamad Ashran Hamsani (42’).

Kemenangan ini membolehkan skuad berjulukan Speedy Tigers ini meraih tiga mata pertama sekaligus mengumpul lima mata secara keseluruhan di dalam kelompok ‘Super 4’. Ketika ini, mereka turut mendahului saingan ‘Super 4’ ini selepas 3 perlawanan.

Terdahulu, Malaysia meraih satu mata masing-masing hasil daripada keputusan seri menentang Republik Korea (2-2) dan India (3-3) dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pada masa yang sama, kemenangan ini membolehkan Malaysia menempah tiket ke perlawanan akhir Hoki Piala Asia 2022. Bagaimanapun, pasukan yang akan menjadi lawan kepada Malaysia bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir melibatkan India dan Republik Korea sebentar lagi.

Kedua-dua pasukan berkongsi empat mata masing-masing pada ketika ini. Namun begitu, Korea berada di atas India selepas dua perlawanan memandangkan mereka mempunyai rekod perbezaan gol (goal difference) sebanyak 2 gol berbanding 1 gol dimiliki India.

Featured Image: Malaysia Hockey Confederation

komen