Penganjuran perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 18 Jun ini dimaklumkan dianjak ke bulan Oktober kelak.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepertimana dikongsikan oleh laman sosial rasmi kejohanan berbasikal tersebut, semalam.
Dimaklumkan, tarikh baharu kejohanan yang turut mendapat status UCI ProSeries (kejohanan berbasikal jalan raya bertaraf Tier 2 oleh badan induk basikal dunia) ini akan dilangsungkan pada 11 hingga 18 Oktober nanti.
Tarikh baharu ini juga telah disahkan serta dimasukkan dalam kalendar perlumbaan jalan raya UCI.
Pada masa yang sama, Faizal memaklumkan tiada sebarang perubahan terhadap lapan laluan berjarak 1,183 kilometer (km) secara keseluruhan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Lapan laluan tersebut adalah Kuala Lumpur ke Kuala Pilah (160 km), Kuala Klawang ke Raub (170 km), Putrajaya ke Genting Highlands (133 km), Kuala Selangor ke Tambun (190 km), Kuala Kangsar ke Kulim (167 km), Georgetown ke Alor Setar (148 km), Kuah ke Gunung Raya (105 km) dan Kuah, Langkawi Loop (110 km).
Featured Image: Le Tour de Langkawi