Artikel

Tiga Pemain AMD Jalani ‘Trial’ Bersama Kelab Perancis & Luxembourg

Akaun media sosial rasmi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) memaklumkan seramai tiga orang pemain terbaik Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan berlepas ke Perancis dan Luxembourg.

Pemergian ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Mohammad Haykal Danish, Rohisham Haikal serta Muhammad Abu Khalil adalah untuk menjalani latihan percubaan (trial) bersama dua buah kelab iaitu FC Annecy dan Racing FC bermula 2 hingga 19 Jun ini.

Dimaklumkan, mereka ke sana sambil diiringi oleh Pengarah Teknikal NFDP, Saad Ichalalene serta jurulatih bawah 17 tahun (B-17) AMD, Amarul Naza Mohamad.

Untuk makluman semua, dua daripada pemain tersebut, Haykal Danish dan Rohisham Haikal merupakan antara pemain terbaik AMD bagi Generasi 2005. Kedua-dua pemain ini pernah beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) bawah 13 tahun (B-13) dalam Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali pada tahun 2018.

Sementara itu, Abu Khalil pula merupakan tonggak utama skuad AMD B-17 yang beraksi dalam kejohanan Piala Presiden 2022. Ketika ini, AMD B-17 merupakan pendahulu bagi saingan Kumpulan A yang turut terdiri daripada Penang, Kelantan United, Kelantan, Kedah Darul Aman dan Perlis United.

Sebagai tambahan, penghantaran pemain-pemain terbaik AMD menjalani “trial” bersama kelab-kelab luar negara merupakan inisiatif Sekretariat NFDP bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meningkatkan kebolehpasaran pemain selepas tamat pengajian bersama AMD.

komen