Perlawanan Tier 1: Harimau Malaya Atasi Hong Kong, Pamer Corak Permainan Memberangsangkan  
June 1, 2022 Hafizuddin Omar

Selepas menumpaskan Brunei, Jumaat lalu, Pasukan bola sepak kebangsaan kendalian Kim Pan-gon berhasil merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam perlawanan antarabangsa tier 1 dengan menumpaskan Hong Kong. 

Skuad berjulukan Harimau Malaya ini mencetak kemenangan tersebut dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid menerusi sepakan penalti dan sepakan percuma oleh Safiq Rahim pada babak pertama dan kedua masing-masing.

Selain daripada merekodkan kemenangan, Harimau Malaya turut menyajikan corak permainan yang cukup meyakinkan dan memberangsangkan. Malaysia dilihat menguasai dan mendominasi permainan hampir sepanjang permainan berlangsung.

Serangan bertubi-tubi turut diatur ke arah gawang Hong Kong yang majoritinya digerakkan oleh pemain sayap lincah, Arif Aiman. Hasil daripada serangan tersebut, Malaysia mendapat banyak peluang di hadapan gol.

Sayangnya, bahagian serangan dilihat masih tumpul dimana daripada lambakan peluang yang hadir, hanya dua sahaja dapat diterjemahkan kepada jaringan.

Sementara itu, berakhirnya perlawanan menentang Hong Kong ini menandakan tamatnya dua aksi ‘pemanas badan’ yang diatur bagi mempersiapkan Harimau Malaya sebelum menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Selepas ini, Malaysia yang bercita-cita untuk beraksi di pentas asia akan memulakan kempen kelayakan dengan menentang Turkmemistan (8 Jun) diikuti dengan menentang Bahrain (11 Jun) dan diakhiri dengan bertemu Bangladesh (14 Jun).

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen