Artikel

Ranking FIH: Malaysia Kembali Memasuki Kelompok 10 Pasukan Terbaik Dunia

Sungguhpun terlepas peluang untuk bergelar juara Piala Asia 2022, satu perkembangan baik dilakar oleh skuad hoki lelaki kebangsaan apabila kembali menempatkan diri mereka dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia.

Menerusi kemaskini terbaru oleh laman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), kejayaan pasukan bimbingan Arul Selvaraj muncul naib juara di kejohanan tersebut menjadikan Speedy Tigers memiliki 1666.594 mata pada ketika ini. 

Pungutan mata tersebut membolehkan mereka menduduki kedudukan ke-10 yang sebelum ini dihuni oleh pasukan eropah, Perancis. Pada saat ini, Perancis yang jatuh ke tangga ke-11 dunia memiliki 1577.458 mata.

Untuk makluman semua, Malaysia telah menduduki ranking ke-10 dunia pada Oktober tahun lalu namun kedudukan itu tidak bertahan lama dan jatuh ke tangga ke-11 dunia pada April lalu.

Sebagai tambahan, ranking pertama dunia masih menjadi milik pasukan hoki lelaki kebangsaan Australia. Mereka menghuni kedudukan itu sejak Ogos tahun lalu. Ianya diikuti oleh Belgium dan Belanda di tangga kedua dan ketiga masing-masing.

Sementara itu, India menjadi pasukan benua asia paling tinggi dalam ranking dunia dengan menduduki tangga keempat manakala Republik Korea yang muncul juara Piala Asia 2022 pula berada di tangga ke-13 dunia.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation 

komen