Pemain bebas (independent), Cheam June Wei menjadi wakil tunggal negara yang mara ke peringkat suku akhir bagi kategori perseorangan lelaki dalam saingan Cabaran Antarabangsa (International Challenge) Itali 2022.
Pemain berusia 25 tahun ini mara ke peringkat tersebut selepas meraih kemenangan ke atas pemain tuan rumah, Fabio Caponio secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-15 di Pusingan 16.
Sebelum itu, June Wei berhasil merekodkan kemenangan ke atas pemain Singapura, Jason Teh Jia Heng juga secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-13 di Pusingan 32.
Sebelum itu, terdapat dua lagi pemain Malaysia yang turut beraksi dalam babak undian utama bagi kategori ini. Bagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut iaitu Aidil Sholeh tersingkir di Pusingan 32 manakala Yeoh Seng Zoe tidak dapat beraksi di Pusingan 16 ekoran kecederaan dan lawannya mendapat kemenangan percuma.
Sementara itu, di peringkat suku akhir kelak, June Wei akan turun menentang pemain Indonesia yang berada di ranking ke-156 dunia, Christian Adinata bagi merebut tiket ke peringkat separuh akhir.
Sebagai rekod, kedua-dua pemain ini belum pernah bertemu di mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia