Pan-gon Senaraikan Dua Pemain Naturalisasi Untuk Hadapi Kelayakan Piala Asia 2023
June 4, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 23 pemain yang dipilihnya untuk mewakili Malaysia bagi menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023, pada hari ini.

Menerusi siaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, dua pemain naturalisasi iaitu Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh antara yang menjadi pilihannya mengisi senarai 23 pemain tersebut.

Selain itu, jurulatih kelahiran Korea itu turut menyenaraikan dua pemain yang beraksi di luar negara iaitu Dion Johan Cools (SV Zulte Waregem) dan Junior Eldstal (Chonburi FC). Manakala baki 19 individu lagi merupakan campuran pemain-pemain daripada saingan liga tempatan.

Sementara itu, tujuh pemain yang mengikuti kem latihan bermula 19 Mei lalu disisihkan oleh Pan-gon. Antaranya Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni, Liridon Krasniqi, Norshahrul Idlan Talaha serta Syahmi Safari yang dilepaskan awal ekoran masalah kesihatan.

Untuk makluman semua, 23 pemain yang dipilih oleh Pan-gon ini akan turun untuk mengharungi saingan Kumpulan E menentang Turkmemistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen