Artikel

Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya Kutip 3 Mata Pertama Tumpaskan Turkmenistan

Skuad bola sepak kebangsaan memulakan kempen peringkat Kumpulan E dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kanan apabila berhasil mengutip tiga mata pertama. 

Skuad berjulukan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon ini mengutip tiga mata itu menerusi kemenangan 3-1 yang direkodkan ke atas pasukan yang menghuni ranking ke-134 dunia, Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Safawi Rasid dan Faisal Halim mengejutkan pasukan asia tengah ini bermula di awal babak permainan lagi dengan menjaringkan gol pada minit 11’ dan minit 16’.

Sebelum tamatnya babak pertama, pertahanan kiri, Corbin Ong menambah satu lagi jaringan buat skuad negara apabila berhasil melakukan jaringan pada minit 45+2’ setelah melakukan larian solo.

Turkmenistan hanya membawa pulang sebiji gol saguhati menerusi penyerang mereka, Annadurdyyev Altymyrat yang berjaya mengambil kesempatan atas kelalaian benteng pertahanan Malaysia pada minit 38′.

Sementara itu, Bahrain yang merupakan ahli Kumpulan E turut meraih kemenangan dengan keputusan 2-0 ke atas Bangladesh sekaligus memungut tiga mata dalam perlawanan yang berlangsung petang tadi.

Ini menjadikan Bahrain dan Malaysia mempunyai tiga mata masing-masing selepas mengharungi perlawanan pertama peringkat kumpulan. Kedua-dua pasukan ini akan turun berentap dalam perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung pada 11 Jun (Sabtu) nanti.

Featured Image: Khairil Ajhar Jaafar

komen