Indonesia Masters: Pearly-Thinaah Bertarung 91 Minit Sebelum Singkir Naib Juara Korea Masters
June 9, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa melalui pertarungan panjang sebelum dapat menumpaskan lawannya, Baek Ha-na dan Lee Yu-lim di Pusingan 16 saingan Indonesia Masters 2022.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-10 dunia terlebih dahulu mengalami kekalahan di set pertama dengan skor 21-23 kepada pasangan naib juara Korea Masters 2022 itu. 

Bagaimanapun, mereka berhasil bangkit memenangi set kedua kedua dengan skor 21-17 sekaligus mengheret pasangan yang menduduki tangga ke-49 dunia itu ke set penentuan.

Pearly-Thinaah memastikan tiket kemaraan ke peringkat suku akhir menjadi milik mereka setelah berjaya meneruskan momentum kemenangan di set penentuan dengan skor 21-15.

Sebagai rekod, pertemuan antara kedua-dua pasangan ini berlangsung dalam tempoh masa 91 minit atau sekitar satu jam dan setengah di atas Gelanggang 3 di Istora Senayan, Jakarta pada hari ini.

Sementara itu, di peringkat suku akhir, Pearly-Thinaah bakal berhadapan samada beregu Indonesia, Anisanaya Kamila-Az Zahra Ditya (ranking 315) atau pemain Thailand merangkap pilihan keempat kejohanan, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (ranking kelapan).

Featured Image: Badminton Association of Thailand  

Komen