Bekas ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD), Osmera Omaro menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad kebangsaan bawah 17 tahun (B-17) bermula saat ini.
Perkara itu diumumkan oleh badan induk tersebut dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya. Ianya turut dimaklumkan menerusi pelbagai platform media sosial milik FAM, malam tadi.
Untuk makluman semua, Osmera yang berusia 43 tahun ini memiliki Lesen Kejurulatihan AFC ‘A’. Sebelum bertugas di AMD, Osmera turut memegang jawatan selaku ketua jurulatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Pembangunan Belia, KJRN Sabah.
Sekitar sidang media pengumuman barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya B-17 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Tonton video penuh di https://t.co/g13FhiP7oJ#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/A7tNCh8qKQ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 10, 2022
Selain itu, FAM turut mengumumkan barisan kejurulatihan yang akan membantu Osmera bersama skuad B-17 negara ini. Antaranya bekas pertahanan negara, Amirizdwan Taj Tajudin serta Efendi Abd Malek, V. Kavichelvan, Mohd Nasril Mat Nourdin, Khairal Afiq dan Mohd Aimerul Mat Nuar.
Cabaran Osmera dan barisan kejurulatihannya bermula dengan saingan Kejuaraan B-16 AFF 2022 di Indonesia bermula 31 Julai hingga 13 Ogos kelak. Dalam saingan ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Australia, Myanmar dan Kemboja.
Kemudiannya, ia diikuti dengan saingan Kelayakan Piala Asia B-17 yang turut dilangsungkan di negara sama bermula 1 hingga 9 Oktober. Saingan ini pula menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan tuan rumah, Palestin, Guam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Featured Image: Football Association of Malaysia