Indonesia Masters: Pearly-Thinaah Kekal Rekod Kebal Lawan Beregu No.1 Thailand
June 10, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil mengekalkan rekod empat kemenangan berturut-turut bertemu pasangan wanita No.1 Thailand, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai.

Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kesepuluh dunia pada ketika ini merakamkan kemenangan terbarunya ke atas pasangan tersebut di peringkat suku akhir saingan Indonesia Masters, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah berjaya menumpaskan Kititharakul-Prajongjai yang berada di ranking kelapan dunia itu secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-16 dalam tempoh masa 44 minit.

Sebagai rekod, tiga pertemuan sebelumnya antara kedua-dua pasangan ini turut memihak kepada Pearly-Thinaah.

Kemenangan itu dicatatkan semasa bertemu di dalam saingan All England 2021, Jelajah Dunia Akhir 2021 dan saingan Piala Uber 2022.

Sementara itu, selaku pemenang, Pearly-Thinaah akan bertemu samada beregu Korea merangkap beregu No.2 dunia, Lee So-hee dan Shin Seung-chan atau pasangan tuan rumah, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti di peringkat separuh akhir, esok.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen