Indonesia Masters: Beregu Tuan Rumah Menafikan Kemaraan Pearly-Thinaah Ke Pentas Final
June 11, 2022 Hafizuddin Omar

Tiada pentas akhir buat pasangan badminton wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam saingan Indonesia Masters 2022 – Jelajah Dunia Super 500 BWF.

Ini berikutan beregu tuan rumah, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti menafikan kemaraan mereka di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah terpaksa akur tumpas kepada pasangan tersebut selepas melalui tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 23-21, 14-21 dan 14-21.

Apriyani-Fadia yang mendapat sokongan padu penonton tempatan mengesahkan kemenangan ini selepas bertarung sekitar sejam dan 11 minit di atas gelanggang.

Untuk makluman semua, Apriyani dan Siti Fadia ini merupakan gandingan baharu. Dahulunya, Apriyani merupakan gandingan kepada Greysia Polii yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Namun, Apriyani terpaksa mencari rakan gandingan baharu setelah Greysia mengumumkan persaraannya di usia 34 tahun, baru-baru ini.

Fadia pula bergandingan bersama Ribka Sugiarto dan beregu ini pernah meraih ranking ke-26 dunia, kedudukan tertinggi yang pernah dicapai mereka.

Sementara itu, Apriyani-Fadia yang berhasil mara ke pentas final akan berhadapan dengan beregu China merangkap pasangan No.1 dunia, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan. Kedua-dua pasangan ini akan berentap pada hari esok untuk merebut gelaran juara.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen