Artikel

Harimau Malaya Berada Di Ranking Ke-150 Dunia Selepas Tumpas Kepada Bahrain

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya kini berada di ranking ke-150 dunia selepas tumpas kepada Bahrain dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan E dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023, semalam.

Kedudukan tidak rasmi itu dikongsikan oleh sebuah akaun laman sosial yang memberikan perkembangan terkini mengenai ranking pasukan bola sepak negara-negara asia, Footy Rankings.

Kekalahan 1-2 Malaysia di tangan Bahrain telah menolak sebanyak 7.64 daripada 1056.32 mata yang terkumpul sebelum ini. Penolakan mata itu menjadikan Malaysia kendalian Kim Pan-gon berada di ranking ke-150 dunia pada ketika ini.

Untuk makluman semua, kiraan ini dibuat selepas tamatnya kesemua perlawanan kedua melibatkan enam kumpulan yang mengambil bahagian dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023. 

Sebelum itu, Malaysia berhasil melonjak ke ranking ke-146 dunia selepas menumpaskan negara dari rantau asia tengah, Turkmenistan pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan E, Rabu lalu.

Sebagai tambahan, laman rasmi Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih memaparkan kedudukan skuad Harimau Malaya di ranking ke-154 dunia pada saat ini.

Badan induk bola sepak dunia ini akan melakukan kemaskini terhadap ranking ini secara rasmi pada 23 Jun kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen