PSM: Penukaran Padang SNBJ Bermula Suku Pertama Tahun 2023
June 12, 2022 Hafizuddin Omar

Badan yang menguruskan dan menyelenggara Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) iaitu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan memulakan proses penukaran padang di stadium berkenaan bermula suku pertama tahun hadapan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Mohd Faidz Sanusi menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik badan berkanun itu, pada hari ini. 

“PSM bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran yang dijadualkan bermula suku pertama tahun hadapan serta lain-lain penambahbaikan SNBJ sejurus selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh penganjur pada tahun ini,” katanya.

Keadaan padang SNBJ yang becak dan berselut menjadi buah mulut orang ramai ketika perlawanan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 melibatkan Malaysia dan Bahrain, semalam.

Ianya menyebabkan kedua-dua pasukan tidak dapat menampilkan corak permainan bermutu. Pada masa yang sama, para pemain turut bergelut dek kesukaran untuk mengawal dan membawa bola di atas padang yang berselut itu. 

Perkara tersebut disebabkan oleh hujan lebat yang turun mencurah-curah di sana dalam tempoh masa melebihi dua jam sebelum daripada sepak mula perlawanan sehingga menyebabkan permukaan padang SNBJ digenangi dengan air.

Melihatkan situasi tersebut, para petugas dilihat diarahkan untuk mengalirkan air yang bergenang itu ke bahagian tepi padang menggunakan beberapa peralatan seperti penyodok sampah, kadbod dan wayar paip air.

Dalam kenyataan yang sama, CEO PSM menyatakan tindakan itu tidak adalah tidak wajar dan secara tidak langsung mengakibatkan padang tersebut rosak.

Pihaknya ada mencadangkan agar perlawanan itu ditangguhkan selama 30 minit dan dimulakan pada jam 9.30 malam bagi memberikan masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik. Namun begitu, cadangan itu nampaknya ditolak dan perlawanan tetap diteruskan seperti waktu sepak mula yang ditetapkan.

Komen