Pertukaran 5 Pemain Gantian Kekal, Diluluskan Oleh IFAB
June 14, 2022 Hafizuddin Omar

Badan pembuat undang-undang bagi bola sepak, Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) menerima cadangan mengekalkan pertukaran lima pemain gantian secara kekal bagi saingan tertinggi.

Ianya telah diratifikasi di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-136 yang diadakan di Doha, Qatar. Perubahan ini telah dimasukkan di dalam buku Undang-Undang Permainan (Laws of the Game) 2022/23 yang akan efektif bermula 1 Julai kelak.

Untuk makluman semua, pertukaran lima pemain gantian ini merupakan permintaan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Mei 2020 untuk melindungi pemain semasa pandemik yang melanda dunia.

Dan IFAB memperkenalkan pindaan sementara yang memberikan pilihan kepada penganjur saingan domestik utama dan antarabangsa untuk membenarkan pasukan-pasukan menggunakan sehingga lima pemain gantian.

Selain itu, AGM turut membuat keputusan untuk meningkatkan jumlah pemain simpanan daripada 12 orang kepada 15 orang di dalam “Team List” bagi setiap perlawanan atas pertimbangan penganjur kejohanan.

Sebagai tambahan, AGM turut mengenalpasti mengenai perasaan kurang hormat dan keselamatan kepada pengadil-pengadil sudah menjadi masalah global.

Ahli-ahli mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan inisiatif bagi membendung isu-isu ini termasuk berpotensi untuk menguji pemakaian kamera badan oleh para pengadil dalam saingan bola sepak akar umbi remaja.

Untuk pengetahuan semua, mesyuarat ini dipengerusikan oleh Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dan wakil daripada FIFA, The FA, Irish FA, Scottish FA, FA of Wales dan pentadbiran IFAB.

Featured Image: IFAB

Komen