Artikel

Bekas Penjaring Terbanyak Liga Singapura, Stipe Plazibat Sedang Diuji Perak FC

Pasukan yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi XOX, Perak FC memaklumkan sedang menguji 3 pemain import bagi memperkuatkan pasukan dalam usahanya untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Premier.

Salah seorang daripada pemain yang diuji itu adalah bekas penjaring terbanyak Liga Singapura bersama Lion City Sailors FC iaitu Stipe Plazibat yang berusia 32 tahun. Pemain ini menjadi penjaring terbanyak saingan bola negara seberang tambak dengan rekod 14 gol pada tahun 2020.

Tahun berikutnya, penyerang dari Republik Croatia mengekalkan konsistensinya menjaringkan 14 gol namun dia gelaran penjaring terbanyak itu terlucut dan dimenangi penyerang Hougang United dari Jepun dengan rekod 19 gol.

Sementara itu, dua lagi pemain yang sedang diuji oleh skuad bergelar The Bos Gaurus ini adalah pemain tengah dari Argentina, Luciano Guaycochea dan pemain tengah bertahan dari Nigeria, Sunday Kolawole Afolabi.

Dimaklumkan, Stipe, Luciano dan Sunday akan beraksi bersama Perak dalam satu perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Republik Korea, Christian Seoul University di Stadium Perak pada jam 9 malam, Ahad nanti.

Bagaimanapun, kemasukan pemain-pemain ini bersama Perak bergantung kepada kelulusan pemeriksaan kesihatan dan penilaian oleh barisan kejurulatihan.

Untuk makluman, ketika ini, Perak sedang berada di dasar saingan Liga Premier dengan pungutan -3 mata hasil daripada 9 perlawanan.

Featured Image: Lion City Sailors FC

komen