Harimau Malaya Mara Ke Saingan Piala Asia Secara Merit Selepas 42 Tahun
June 14, 2022 Hafizuddin Omar

Kemarau panjang yang berlarutan sehingga 42 tahun nampaknya menemui penghujungnya. Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya berhasil melayakkan diri ke saingan Piala Asia secara merit, pada hari ini.

Kemaraan tersebut disahkan selepas Malaysia yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Korea, Kim Pan-gon berhasil menumpaskan Bangladesh dengan keputusan 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Kemenangan ini diraih menerusi jaringan yang disumbangkan oleh Safawi Rasid (16′), Dion Cools (38′), Syafiq Ahmad (47′) dan Darren Lok (73′). Manakala gol tunggal Bangladesh pula dihasilkan oleh Mohammad Ibrahim (31′).

Kemenangan ini menjadikan Malaysia mengutip enam mata daripada tiga perlawanan sekaligus menamatkan saingan peringkat Kumpulan E selaku naib juara.

Skuad Harimau Malaya melayakkan diri apabila menjadi pasukan ketiga daripada enam naib juara merentasi semua kumpulan di dalam saingan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 ini. Untuk makluman semua, hanya lima daripada enam naib juara terbaik sahaja yang layak mara ke pentas asia.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke saingan Piala Asia secara merit adalah pada edisi 1980 yang berlangsung di Kuwait.

Sementara itu, pada tahun 2007, Malaysia beraksi di pentas asia selaku hos bersama-sama tiga negara lain iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Sebagai tambahan, pada saat ini sebanyak  22 pasukan termasuk Malaysia telah disahkan layak ke saingan Piala Asia 2023. Pasukan-pasukan tersebut ialah Jepun, Syria, Qatar, Republik Korea, Australia, Iran, Arab Saudi, UAE, China, Iraq, Oman, Vietnam, Lubnan, Palestin, Thailand, Uzbekistan, Hong Kong, India, Kyrgyzstan dan Tajikistan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen