Terbuka Indonesia: Zii Jia Balas Dendam Kekalahan Kepada Sameer Di Terbuka Thailand
June 16, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia menerima satu kejutan apabila disingkirkan oleh Sameer Verma seawal peringkat Pusingan 32 dalam saingan Terbuka Thailand pada tahun lalu.

Itulah yang berlaku dalam pertemuan terakhir melibatkan Zii Jia dan Sameer pada pertemuan terakhir mereka di pentas antarabangsa.

Namun begitu, pemain yang menghuni ranking kelima dunia ini berhasil membalas dendam terhadap kekalahan di tangan pemain India tersebut dengan merekodkan kemenangan di Pusingan 16 dalam saingan Terbuka Indonesia 2022, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, Zii Jia menampilkan prestasi cemerlang di atas gelanggang dan menumpaskan Sameer secara “straight set” dengan keputusan 21-10 dan 21-13 dalam tempoh masa 41 minit.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan ketujuh melibatkan kedua-dua pemain di pentas antarabangsa. Kemenangan ini menjadikan Zii Jia berhasil melebarkan rekod kemenangan menjadi lima berbanding dua yang dimenangi oleh Sameer.

Pada masa yang sama, kemenangan ini memacu Zii Jia ke peringkat suku akhir kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF yang akan berlangsung pada hari esok.

Bagaimanapun, lawannya di peringkat suku akhir belum diketahui. Namun, ianya akan menjadi samada pemain Singapura, Loh Kean Yew (ranking kesembilan) atau pemain Perancis, Toma Junior Popov (ranking ke-26).

Featured Image: Victor Facebook

Komen