Apple & Major League Soccer Memeterai Perjanjian Penstriman Selama 10 Tahun
June 16, 2022 Hafizuddin Omar

Syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat, Apple mengumumkan kerjasama dengan penganjur bola sepak di negara berkenaan, Major League Soccer (MLS) selama 10 tahun.

Kerjasama itu menjadikan aplikasi Apple TV sebagai destinasi eksklusif buat para peminat di seluruh dunia untuk menyaksikan setiap perlawanan MLS termasuk di bawah kelolaannya seperti Piala Liga, MLS Next Pro dan MLS Next bermula tahun 2023 hingga 2032.

Kesemua perlawanan ini akan dapat ditonton menerusi langganan servis penstriman MLS yang baharu dimana ianya hanya boleh didapati menerusi aplikasi Apple TV.

Sebagai tambahan, servis ini turut menyediakan beberapa kandungan lain seperti rancangan mingguan, ulang siar perlawanan, sorotan perlawanan, rancangan analisis dan program khas.

Semuanya tersedia di satu tempat tanpa perlu membeli pakej langganan pukal TV tradisional mengikut negara masing-masing.

Selain itu, beberapa perlawanan MLS dan Piala Liga yang terpilih tersedia tanpa sebarang caj tambahan dan percuma kepada pelanggan Apple TV+.

Siaran langsung perlawanan MLS dan kandungan “on-demand” di Apple TV disediakan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai akses internet merentasi semua peranti yang mempunyai aplikasi ini seperti iPhone, iPad, Mac, Apple TV 4K dan Apple TV HD; Samsung, LG, Panasonic, Sony, TCL, VIZIO dan lain-lain TV pintar (Smart TV).

Bagaimanapun, maklumat lengkap untuk para peminat melanggan servis penstriman MLS seperti harga langganan, kandungan serta program berkaitan yang akan disiarkan dan lain-lain perkara akan diumumkan pada bulan-bulan mendatang.

Komen